Wednesday, November 21, 2018

PENGENALAN KOMPUTER

1.0  PENGENALAN KOMPUTER


1.1  Definisi Komputer

Komputer merupakan alat elektronik yang dapat menerima data, memproses data, menyimpan data dan menghasilkan output. Istilah-istilah asas yang perlu diketahui apabila belajar mengenai komputer ialah :

a) Peranti

Peralatan yang disambung kepada sistem unit

b) Perisian

Program atau arahan yang memberitahu komputer apa yang harus dilakukan


c) Data

Fakta mengenai sesuatu benda atau orang seperti nama, gambar, warna, saiz, bilangan dan sebagainya.

d) Maklumat

Data yang telah diproses menjadi sesuatu yang bermakna.



2.0  KEPENTINGAN PENGGUNAAN KOMPUTER


2.1  PENDIDIKAN


  • Meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam sistem pengurusan sekolah.
  •  Meluaskan pengetahuan pelajar dalam pencarian dan dapatan   maklumat. 



2.2  PERBANKAN DAN PERNIAGAAN


  •   Mewujudkan satu komunikasi yang luas dengan pelanggan.
  •  Mengurangkan kos operasi dan masa.
  •  Meningkatkan mutu perkhidmatan.



2.3  KEHIDUPAN HARIAN DI RUMAH


  •   Memudahkan pengurusan rumah.
  •   Maklumat dapat di capai dengan mudah walaupun dari rumah 
  •   Komunikasi jauh boleh diwujudkan.



2.4  SEKTOR INDUSTRI


  •          Memudahkan perancangan pengeluaran dan sistem kawalan.
  •          Membantu proses merekabentuk produk menggunakan perisian CAD.
  •          Membantu pekerja mengendalikan mesin.
  •          Membantu tadbir untuk mengawasi dan mengendalikan seluruh operasi kilang.

3.0  PROSES KOMPUTER


3.1  Input


Input merupakan aktiviti memasukkan data ke dalam sistem komputer.Data dimasukkan ke dalam sistem komputer melalui aktiviti :

  •    Menaip data secara manual menggunakan keyboard
  •    Memilih dan klik dari senarai yang disediakan menggunakan mouse
  •    Mengimbas dokumen, imej dan sebagainya menggunakan scanner.

3.2  Proses 

Proses adalah langkah menukarkan data kepada maklumat yang berguna


3.3  Output


Output ialah maklumat yang dipaparkan oleh komputer selepas data diproses mengikut arahan yang diberikan oleh peranti input. Contoh output ialah paparan teks , video atau imej di monitor , teks atau imej yang dicetak oleh pencetak dan paparan di projector LCD.


3.4  Storan

Storan ialah tempat untuk menyimpan data untuk tujuan kegunaan akan datang






Rajah 3.0 : Carta aliran Input, Proses, Output, dan Storan


4.0  JENIS-JENIS KOMPUTER


4.1  Desktop


Rajah 4.1 : Desktop

Desktop merupakan istilah yang digunakan untuk komputer peribadi dan kerja. Desktop dilengkapi dengan monitor, mouse, keyboard dan system unit. Desktop sesuai berada di atas meja dengan kedudukan statik. Desktop sesuai digunakan di rumah, pejabat dan sekolah. Desktop mudah untuk menaiktaraf dari segi perkakasan sekiranya perlu. Ia juga lasak bagi mengendalikan program multimedia, games dan autocad.


4.2  Laptop


Rajah 4.2 : Laptop

Laptop merupakan komputer yang berbentuk ringkas dan mudah alih. Perkakasan seperti processor, motherboard, RAM, hardisk, monitor dan keyboard disatukan menyerupai sebuah buku. Ia ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Sesuai digunakan untuk membuat pebentangan di dalam sektor pendidikan dan perniagaan. Laptop terdiri daripada :


4.2.1  Ultrabook


Rajah 4.2.1 : Ultrabook

Ultrabook merupakan komputer riba rekabentuk alaf baru dan menyediakan fungsi pengkomputeran yang sama. Ia ringan, nipis dan mempunyai ketahanan bateri yang lebih daripada Laptop. Spesifikasi keluaran Ultrabook ialah menggunakan CPU jenis Intel Core i5 dan Intel Core i7.


4.2.2  Netbook

Rajah 4.2.2 : Netbook

Netbook merupakan komputer riba yang paling kecil, ringan dan berkuasa rendah. Ia sesuai digunakan untuk membuat kerja-kerja dokumentasi menggunakan perisian Microsoft Office dan melayari Internet menggunakan perisian Google Chrome dan Mozilla Firefox. Spesifikasi keluaran Netbook ialah paling minimum iaitu menggunakan CPU jenis Intel Pentium.


4.2.3  Thin Client

Rajah 4.2.3 : Thin Client

Thin Client juga merupakan komputer jenis Desktop yang menggunakan sistem unit sangat kecil, ringan dan berkuasa rendah. Ia sesuai untuk penggunaan membuat kerja-kerja dokumentasi, penghantaran email dan melayari Internet. Thin Client amat sesuai digunakan di pejabat kerana tidak memerlukan ruangan yang besar.


5.0  PERISIAN SISTEM KOMPUTER


5.1  Sistem Operasi (Operating System)

Sistem operasi merupakan perisian asas yang digunakan untuk menjalankan dan mengendalikan sistem komputer. Perisian sistem operasi mengawal dan menjalankan proses input / output pada sistem unit komputer. Ia juga mengesan dan mengaktifkan perkakasan seperti processor, motherboard, ram, hard disk dan optical drive. Perisian Sistem Operasi terdiri daripada :


5.1.1  Berlesen (Licensed)

Perisian berlesen merupakan perisian yang mempunyai satu persetujuan syarat-syarat hak penggunaan perisian tersebut antara pemilik dan pengguna. Pengguna hendaklah bersetuju dengan dan mematuhi syarat-syarat yang dinyatakan untuk menggunakan perisian tersebut.


5.1.2  Sumber Terbuka (Open Source)

Perisian sumber terbuka merupakan perisian komputer dengan kod sumber yang disediakan dan dilesenkan dengan lesen di mana pemegang hak cipta memberikan hak untuk mengkaji, mengubah dan mengedarkan perisian bagi semua pengguna dan untuk semua tujuan.


5.2  Suite Produktiviti (Productivity Suite)

Suite produktiviti merupakan sekumpulan perisian untuk komputer yang terbahagi kepada empat (4) jenis perisian :


5.2.1  Pemproses perkataan (Word Processing)

Perisian jenis ini digunakan untuk menaip dokumen seperti surat, memo, laporan dan kertas kerja. Contoh perisian ialah Microsoft Word dan Corel Word Perfect.


5.2.2  Hamparan Elektronik (Spreedsheet)

Perisian jenis ini digunakan untuk membuat pengiraan seperti anggaran kos perbelanjaan, perakaunan, analisis pelaburan dan penyata kewangan. Contoh perisian ialah Microsoft Excell.


5.2.3  Persembahan (Presentation)

Perisian jenis ini digunakan untuk menggabungkan eleman teks, gamber, bunyi, video dan animasi dalam bentuk slideshow persembahan. Contoh perisian ialah Microsoft Power Point, Star Office Impress dan Harvard Graphic.


5.2.4  Pengkalan Data (Database)

Perisian jenis ini digunakan untuk menyediakan rekod pengkalan data seperti rekod pekerja, rekod pelajar dan rekod pesakit. Contoh perisian ialah Microsoft Access.


5.3  Perisian productivity suite terdiri daripada :


5.3.1  Berlesen (Licensed)

Pengguna dikehendaki membeli perisian berlesen dengan pengeluar yang terdapat di pasaran terkini. Diutamakan kepada pengguna pemilik syarikat berdaftar bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan.


5.3.2  Sumber Terbuka (Open Source)

Pengguna boleh mendapatkan perisian sumber terbuka secara muat turun melalui talian Internet. Diutamakan kepada pengguna peribadi yang tidak memiliki syarikat dan sebarang perkhidmatan perniagaan.


5.4  Aplikasi (Application)

Aplikasi merupakan perisian yang dicipta untuk melaksanakan fungsi tertentu secara langsung pada sesebuah komputer. Contoh perisian aplikasi ialah, Web Browser, Microsoft Office, Antivirus, Video Player, Audio Player, Photos Editing dan Games. Terdapat sesetengah perisian aplikasi yang telah tersedia ada pada komputer melalui pemasangan perisian sistem operasi. Sekiranya ada penambahan pengguna boleh memuat turun perisian aplikasi yang dikehendaki melalui talian Internet. Perisian aplikasi terdiri daripada :


5.4.1  Berlesen (Licensed)

Pengguna dikehendaki membeli perisian aplikasi berlesen dengan pengeluar yang terdapat di pasaran terkini. Diutamakan kepada pengguna pemilik syarikat berdaftar bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan.


5.4.2  Sumber Terbuka (Open Source)

Pengguna boleh mendapatkan perisian sumber terbuka secara muat turun melalui talian Internet. Diutamakan kepada pengguna peribadi yang tidak memiliki syarikat dan sebarang perkhidmatan perniagaan.


6.0  PERANTI KOMPUTER


6.1  Peranti Input


6.1.1  Keyboard

Rajah 6.1.1 : Keyboard

Keyboard berfungsi membenarkan pengguna memasukkan arahan perkataan, nombor dan simbol kepada komputer.


6.1.2  Mouse

Rajah 6.1.2 : Mouse

Mouse ialah penunding (pointer) berfungsi menggerakkan arahan penunding untuk ditekan oleh pengguna.


6.1.3  Scanner


Rajah 6.1.3 : Scanner

Scanner berfungsi menyalin dan membaca dokumen dalam bentuk teks dan gambar. Dokumen yang disalin akan bertukar kepada bentuk digital dan disimpan dalam komputer. Maklumat yang dibaca akan diproses oleh komputer


6.2  Peranti Output


6.2.1  Monitor

Rajah 6.2.1 : Monitor

Monitor berfungsi memaparkan output yang dikehendaki oleh sistem unit komputer.


6.2.2  Printer


Rajah 6.2.2 : Printer

Printer berfungsi mencetak pelbagai maklumat dalam bentuk dokumen (hard copy).


6.2.3 Speaker

Rajah 6.2.3 : Speaker

Speaker berfungsi mengeluarkan arahan bunyi dari komputer.


7.0  FUNGSI DAN PERANAN KOMPUTER DALAM PEKERJAAN


7.1  Pentadbiran

Di negara ini, peranan komputer amatlah meluas penggunaannya termasuklah dalam bidang pentadbiran, pendidikan, industri, perniagaan, kesihatan dan pelbagai lagi bidang yang menggunakan komputer. Dalam bidang pentadbiran,
hampir setiap pejabat atau jabatan sama ada dari sektor kerajaan ataupun sektor swasta telah menggunakan komputer untuk memproses segala data dan menjalankan tugas seharian. Penggunaan komputer lebih memudahkan pihak pentadbir untuk mengendalikan tugas dengan cepat serta dapat menghasilkan satu kerja yang menarik dan berkualiti.


7.2  Multimedia

Komputer pada masa kini mempunyai perkakasan yang jauh lebih moden berbanding dahulu. Terdapat banyak rekaan moden dan teknologi telah dicipta melalui komputer. Antara ciptaannya ialah Multimedia. Multimedia merupakan kepelbagaian bentuk media atau perantara yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada penerima dengan menggunakan fungsi bunyi, suara, gambar, animasi lagu dan video. Personal Computer (PC) lebih merujuk kepada set perkakasan multimedia yang lengkap dan boleh berfungsi sebagai perantara yang berkesan dengan mengeksploitasikan kepelbagaian fungsi.


7.3  Kejuruteraan

Bidang kejuruteraan lebih fokus kepada sektor industri di mana membantu pekerja-pekerja kilang mengendalikan mesin untuk proses merekabentuk produk menggunakan perisian CAD. Sistem komputer juga membantu tadbir dan mengawal selia seluruh operasi kilang.


7.4  Jualan

Jualan lebih fokus kepada sektor perniagaan memainkan peranan yang penting untuk mengendalikan segala urusan perniagaan. Ia juga akan memudahkan para peniaga atau usahawan untuk mengetahui segala maklumat tentang perniagaan, bursa saham, promosi dan sebagainya.Mereka boleh mengetahui segala-galanya dalam internet. Internet merupakan satu jaringan maklumat terkini di mana kita boleh memperkenalkan maklumat dengan mudah.
















No comments:

Post a Comment